Seiring dengan pertambahan usia, menuntun juga bertambahnya tanggungjawab, beratnya amanah, perlu keluasan pandangan & pemikiran, lebih mementingkan kerasionalan berbanding menurut kehendak nafsu. Mudah-mudahan aku akan menjadi lebih matang, tenang, berilmu & boleh dijadikan tempat bersandar… insyaAllah.
Bertambahnya usia, menandakan semakin dekat kita dengan kematian, dengan hari pembalasan. Harusnya, hati & diri dididik bahawa sedekat-dekat jantung yang berdegup di tepi hati, dekat lagi kematian itu dengan diri.
Begitu jua perginya sayang, meninggalkan bekasan yang amat dalam. Hinggakan di suatu sudut hati, sebenarnya seakan tidak merelakan perpisahan ini. Berulang kali bersoal diri, apakah cukup kuat sudah iman untuk menjaga diri baik dari segi Emosi, Spiritual mahupun Intelektual sepanjang tempoh bertahun yang akan datang?
Dari Mu'adz bin Jabal radhiallahu Anhu;
“Tidak bergeser kaki seorang hamba pada hari kiamat sampai ia dipertanyakan tentang 4 perkara; tentang usianya untuk apa dihabiskan, tentang masa mudanya untuk apa dipergunakan, tentang hartanya dari mana didapat dan untuk apa dinafkahkan, dan tentang ilmunya untuk apa diamalkan.” (Riwayat al-Baihaqi dan selainnya.)
Banyak terdapat manusia, semakin tua, semakin lupa diri, semakin mencintai maksiat. Semakin kaya, semakin tamak, hingga sanggup memutuskan silaturrahim sesama saudara, adik beradik. Semakin bijaksana, semakin menjadi bongkak, ilmu tidak diguna untuk kebaikan ummah.
Apabila kita berada di bawah, kita melihat kekhilafan orang lain & kita dapat melihat dengan jelas silap itu. Namun, sedarkah kita, ada mungkinnya, apabila tiba waktu kita di atas kelak, dikurniakan Allah kemurahan rezeki, anak-anak semua menjadi, rumah besar, kereta berbiji-biji, kita pula akan serta-merta lupa akan silap yang pernah kita lihat, fikir & tafsir itu.
Waktu itu, apabila adik-beradik yang tak ‘berapa’ nasibnya, kita anggap sudah tidak sekufu dengan kita. Ziarahnya ke rumah kita, kita anggap seolah-olah seperti hanya mengharapkan harta kita, mengganggu harmoni rumah tangga kita. Sakit perit ibu kita di kampung seperti luput sudah dek kerana kita hanyut dalam keindahan & sempurnanya isteri & anak-anak kita. Saat itu, kita merasakan pendapat-pendapat orang lain sudah tidak boleh diterima pakai kerana mereka tak se’maqam’ dengan kita.
Nasib ibu yang sakit sudah lagi tidak diambil kisah kerana kita sibuk mencarikumpul duit bekalan dunia. Lantas kita serahkan tanggungjawab menjaga ibu yang uzur itu kepada adik-adik perempuan kita yang syurganya sudah pun beralih kepada suaminya. Kita ini, yang sepatutnya menjaga sebaik-baiknya ‘pemberi kunci syurga’ kita itu telah mengabaikan dia dengan sewenang-wenangnya. Masa itu, kita sudah lupa. Tonton drama & filem kisah tanggang derhaka pun sudah tidak dapat menyentuhi hati.
Adanya isteri yang baik, anak-anak yang berjaya, rezeki yang melimpah ruah, kita menarik nafas lega. ‘Alhamdulillah, Allah memurahkan rezeki aku, anak isteri semua baik-baik & berjaya.’ Kita merasakan Tuhan sedang memberi nikmat kepada kita. Kita merasakan jalan kita pilih itu sudah benar2 benar & lurus… kita bersyukur dengan rahmat Allah!
Astaghfirullah hal ‘adzim. Kita tidak sedar, itu sebenarnya bukanlah semata-mata nikmat; tetapi ‘fitnah’ dari Allah untuk menguji jauh mana taqwa kita dalam mengendali nafsu, akal, jiwa & hati.
Sebagai lelaki yang dikurniakan Allah mempunyai 9 akal, harusnya lelaki lebih rasional menjadi pemimpin melebihi wanita yang hanya berbekal 1 akal untuk mengepalai keluarga dengan adil & penuh hemah. Apa yang patut didahulukan, tetap harus didahulukan. Jangan menjadi zalim dengan meletakkan apa yang di bawah kaki di atas kepala, meletakkan di atas kepala ke bawah kaki…
Harus dipatrikan di dalam hati, lelaki yang telah bernikah, syurganya masih di bawah telapak kaki ibunya. Sedangkan saudara perempuannya yang telah bernikah akan lebih berhak mentaati suaminya lebih dari ibunya kerana syurganya sudah beralih kepada suaminya. Malah, setelah Allah, Rasul & suaminya, wanita harus mendahulukan ibubapa suaminya barulah kedua ibubapa kandungnya.
Sebaliknya, bagi lelaki yang bujang mahupun yang sudah bernikah, ibunya tetap berada di tempat ke-3, ke-4 & ke-5, bapanya kemudian barulah isterinya. Berdosa jika dia melebihkan isterinya melebihi ibunya hingga membuatkan ibunya terabai & berkecil hati.
Di sinilah untungnya bagi lelaki-lelaki yang mempunyai isteri yang solehah, yang sentiasa menasihati & mengingatkan suaminya tentang tanggungjawab suaminya terhadap keluarganya, mengingatkan dengan istiqamah tanpa niat buruk & cemburu walau sekelumit pun!
Baik lelaki, mahu pun wanita, sudah tersedia amanah yang dipertanggungjawabkan. Berdoalah agar Allah sentiasa memberi petunjuk & janganlah kita mengulangi kesilapan & kekhilafan manusia-manusia yang alpa dengan ujian Allah yang dianggapnya nikmat itu. Ingatlah, nikmat iman & islam ini adalah kepunyaan Allah, yang diberikan kepada hamba-hambaNya yang terpilih & bisa direntap pada bila-bila masa Dia mengkehendaki.
Firman ALLAH SWT:
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; Siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." [Surah Al-Mulk: 2]
Tiada manusia yang sempurna di dalam dunia ini, kerana tiada apa yang sempurna pun dalam dunia ini. Tiada apa yang sempurna melainkan Allah itulah yang Paling Sempurna dan satu-satunya yang berhak menyempurnakan semua doa & kehendak kita.
Hidup kita, adalah atas pilihan kita. Kita boleh pilih mahu mati sebagai apa, di mana. Mahu mati sebagai seorang Naqib yang sedang menyampaikan tazkirah, mahu mati sebagai anak yang baik, mahu mati sebagai anak yang derhaka, mahu mati sebagai pemutus silaturrahim. Mahu mati di dalam masjid atau mahu mati di dalam pub?
Pilihlah yang mana kamu mahu. Kematian itu kita tak tahu bila akan tiba, tapi sentiasa ada begitu hampir dengan diri kita. Jagalah diri kita sebaiknya selagi hati masih ada sekelumit iman kurniaan Allah.
Cuba untuk menghindari dosa & perbanyakkanlah membuat kebaikan. Mudah-mudahan Allah akan mengurniakan nikmat iman & islam ini sehingga ke hembusan nafas terakhir & kita dimatikan dalam penghujung yang tenang & bahagia. InsyaAllah.
Akhir kalam,
Daripada Abu Sa'id al-Khudri r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya dunia itu manis & indah menghijau & sesungguhnya Allah telah menjadikan kamu sebagai khalifah di dlmnya & kelak Allah akan melihat apa yg kamu berbuat (apakah kamu mentaatiNya atau menderhakaiNya). Oleh kerana itu, berhati-hatilah terhadap (fitnah) dunia & hati-hatilah terhadap (fitnah) wanita. Sesungguhnya bencana pertama yg menimpa Bani Israel adalah kerana wanita."
Kenal pasti siapa pemegang kunci syurgamu, & raihlah redha Allah melalui redhanya selagi dia masih hidup. Jangan menyesali kesilapan kita apabila semuanya sudah terlambat. Redha ibu kita, redha suami kita antara faktor yang menentukan mana pengakhiran kita; syurga atau neraka.
Mudah-mudahan Allah merahmati kita semua.
Allahu ‘alam..
0 nulih:
Post a Comment