Friday, August 20, 2010

Jodoh Yang Lebih Baik



(Artikel ini adalah susualan daripada Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran.)
Hindun telah berkahwin dengan Abdullah bin Abdul Asad. Kedua-dua telah memeluk Islam sebelum era hijrah. Mereka terpaksa menghadapi penindasan kaum musyrikin Mekah setiap hari. Apabila Rasulullah mengeluarkan arahan agar kaum muslimin mencari perlidungan di Habsyah, pasangan ini adalah di antara yang turut merantau ke sana mencari perlidungan. Di sanalah Hindun melahirkan anak pertamanya yang bernama Salamah, yang beerti “selamat”.
Setelah beberapa tahun, mereka mendengar keadaan penindasan di Mekah telah reda. Pasangan suami isteri ini dan ramai di antara kaum muslim pulang ke Mekah semula. Ternyata khabar yang mereka terima adalah sebaliknya. Rasulullah kemudian mengarahkan agar kaum muslimin berhijrah ke Madinah pula.
Pasangan ini lalu membawa anak mereka yang masih kecil itu dan menuju ke Madinah. Belum pun sempat mereka keluar dari kawasan Mekah, perjalanan mereka telah disekat orang-orang Bani Al-Mughirah (kaum keluarga Hindun.) Mereka menangkap dan melarang Hindun serta anaknya mengikut Abdullah berhijrah.
Di tengah-tengah kekalutan itu, datang pula Bani Abdul Asad (kaum keluarga Abdullah.) Mereka tertarik dengan anak kecil Salamah lalu menuntut agar anak itu diambil dari tangan ibunya.
Lalu terjadi perebutan di antara dua keluarga. Salamah yang masih kecil itu ditarik ke kanan dan ke kiri. Akhirnya orang-orang Bani Abdul Asad berjaya merebut Salamah. Salamah dibawa ke permukiman Bani Abdul Asad. Hindun pula ditahan oleh keluarganya, Bani Al-Mughirah. Abdullah lalu meneruskan perjalanan seorang diri ke Madinah.
Lalu terpisahlah keluarga ini.
“Aku dipisahkan oleh suamiku dan anakku. Setiap pagi aku keluar dan duduk di atas hamparan pasir memandang ke arah padang pasir yang seolah-olah tidak bertepi. Dari pagi aku menangis hingga ke petang, teringat akan suamiku dan anakku yang masih kecil. Aku tidak tahu bagaimana nasib mereka. Demikian itulah keadaanku selama setahun.” Kata Hindun apabila meriwayatkan kisah hidupnya.1
Suatu hari seorang lelaki dari Bani Mughirah lalu di tempat Hindun ditahan dan berasa kasihan melihat keadaan Hindun. Lelaki itu bertemu dengan orang-orang Bani Mughirah dan mendesak agar Hindun dilepaskan. Berlakulah berdebatan yang hebat.
Namun dengan rahmat dan pertolongan Allah, Hindun akhirnya dilepaskan. Anaknya juga dikembalikan oleh Bani Abdul Asad. Kini Hindun bersama anak kecilnya bersiap untuk menyusuli suami tersayang di Madinah.
Maka berjalanlah anak dan ibu di atas seekor unta menuju ke Madinah di bawah sinaran matahari terik. Di dalam perjalanan itu beliau terserempak dengan Uthman Bin Talhah yang ketika itu masih belum memeluk Islam. Apabila ditanya ke mana beliau pergi, Hindun menjawab, “Aku menyusuli suamiku di Madinah.” Apabila Uthman bertanya kenapa beliau bersendirian, Hindun menjawab, “Tidak, Allah menyertaiku bersama anakku ini.” Mendengar jawapan itu Uthman menjadi kagum dan beliau mengiringi Hindun ke Mekkah.
Uthman menuntun tali kekangan unta Hindun dan mula bergerak. Setiap kali berhenti berehat, dia membelokkan unta Hindun ke tempat yang teduh, lalu menjauhkan diri agar Hindun boleh berehat. Apabila hari telah petang ia mendekatkan unta Hindun dan mempersilakan Hindun naik. Setelah Hindun naik di belakang unta barulah Uthman mendekati unta berkenaan dan mula berjalan menuntun. Begitulah setiap kali sehingga sampai ke Madinah.
Uthman lalu membawa Hindun ke sebuah dusun di daerah Quba, tempat permukiman Bani Umar Bin Auf. Uthman berkata, “Suamimu ada di dusun itu. Silakan anda masuk ke permukiman itu. Semoga Allah mengiringi anda dengan berkahNya.” Lalu Uthman pulang ke Mekkah. Hindun amat berterima kasih dengan pertolongan Uthman. Hindun akhirnya bertemu dengan suami tersayang.

Abdullah merupakan seorang pejuang yang baik. Beliau mengikut serta Rasulullah di dalam perang Badar dan Uhud. Di dalam perang Uhud beliau mendapat kecederaan. Sebulan selepas Perang Uhud, Rasulullah telah mendengar Bani Asad ingin melancarkan serangan ke atas kaum muslimin di Madinah, baginda lalu mengarahkan Abdullah untuk mengetuai satu ekspedisi ke Qathn bagi menangani masalah tersebut.
Abdullah dengan penuh semangat telah pergi ke Qathn dengan mengetuai 150 pejuang muslim yang lain. Mereka mendapat kemenangan dan pulang bersama harta rampasan. Kejayaan itu sedikit sebanyak menjadi pengubat hati kaum muslimin yang kalah ketika perang Uhud dan memberi tanda kepada musuh bahawa kaum muslimin masih kuat.
Semasa di Madinah, Hindun dan Abdullah telah memperoleh tiga lagi cahaya mata, iaitu Umar, Zainab dan Durrah. Abdullah adalah suami dan pendidik yang baik. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa suatu hari Abdullah pulang dengan ceria setelah menemui Rasulullah. Dia berkata kepada Hindun, “Aku telah mendengar langsung daripada Rasulullah satu ucapan yang membuat hatiku gembira kerananya.” Beliau telah bersabda, “Tidak sekali-kali seorang muslim ditimpa suatu musibah, lalu dia ber-istirja’ ketika musibah menimpanya, kemudian mengucapkan Allahuma jurni fi mushiibati waklufli khairan minha (Ya Allah, berikan daku pahala dalam musibahku ini, dan gantikanlah buatku yang lebih baik daripadanya) melainkan terjadi kepadanya seperti apa yang diminta.” Hindun kemudiannya menghafal doa tersebut daripada Abdullah. Doa ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Menurut Imam Ibn Katsir, istirja’ bermaksud mengucapkan “Innalillahi wa inna ilaihi roji’un” yang membawa maksud, “sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Ini adalah berdasarkan firman Allah di dalam ayat 155 hingga 157 surah Al-Baqarah, “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”
Semenjak pulang dari ekspedisi Qathn, Abdullah merasakan luka-luka yang dideritainya semasa perang Uhud semakin parah. Beliau meninggal beberapa bulan kemudian. Ibnu Abdil Barr menulis di dalam kitab Al-Isti’ab, bahawa pada detik-detik akhir hidupnya, Abdullah telah mendoakan kebajikan kepada keluarga yang akan ditinggalkannya.
Hindun pernah berkata kepada Abdullah, “Aku mendengar bahawa sekiraya suami dan isteri merupakan ahli syurga, maka suami akan dapat bersama kembali dengan isterinya di syurga nanti jika si isterinya tidak berkahwin lain selepas kematian suaminya. Begitu jugalah si isteri akan dapat bersama suaminya di syurga kelak jika suaminya tidak berkahwin lain selepas kematian isterinya. Berjanjilah kepadaku bahawa antara kita, sekiranya sesiapa meninggal dunia terlebih dahulu maka yang masih hidup janganlah berkahwin lain.”
Mendengar kata-kata isterinya yang dikasihi, Abdullah lalu bertanya, “Apakah kamu akan mendengar kataku?” Hindun menjawab, “Sebab itulah aku bermesyuarat, iaitu untuk menurut cakapmu.”
“Aku mahu kamu berkahwin selepas kematianku,” kata Abdullah, seraya berdoa dan memohon agar Hindun dikurniakan seorang suami yang lebih baik dari dirinya setelah beliau meninggal dunia.
Ketika Abdullah meninggal dunia, Hindun pun ber-istirja’ dan membaca doa seperti yang pernah diajar oleh suaminya. Beliau kemudian berkata kepada diri sendiri, “dari mana akan aku dapat suami yang lebih baik daripada Abdullah?”
Setelah tempoh iddah Hindun selesai, Rasullah telah meminang Hindun. Hindun atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah kini telah mendapat jodoh yang lebih baik dari sebelumnya. Kini beliau bergelar Ummul Mukminin Ummu Salamah Hindun binti Umayyah.
Rujukan
  • H.M.H. Al-Hamid Al-Husaini, Rumahtangga Nabi Muhammad s.a.w, Pustaka Nasional Pte. Ltd., Singapura, 1999
  • Muhammad Hussein Haikal, Hayat Muhammad (terjemahan Ali Audah), Litera Antaranusa, Jakarta, 2006.
  • Imam Ibn Kathir, Tafsir Ibnu Kathir – juz 2 (terjemahan Bahrun Abu Bakar), Sinar Baru Algensindo, Bandung, 2004.
  • Sheikhul Hadith Muhammad Zakariyya, Kisah-kisah para sahabat, Era Ilmu Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2005.
  • Zulkifli Mohd. Yusof, Biografi Muhammad Bin Abdullah, PTS Publications & Distributions Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2006 .
  • Sahih Muslim #1526

0 nulih:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com