PENGENALAN PERSONALITI
Setiap individu tidak kira dewasa atau kanak-kanak mempunyai personaliti tersendiri. Personaliti atau sahsiah melambangkan ciri-ciri keperibadian individu dan mencirikan perbezaan antara setiap individu. Personaliti adalah sifat yang ada pada individu seperti cara berfikir, beraksi, beremosi, persepsi dan memperihalkan sifat-sifat fizikal, emosi dan mental setiap insan.Manusia dibezakan menerusi dua aspek iaitu kemampuan dan personaliti. Aspek kemampuan meliputi pencapaian dalam pembelajaran, kecerdasan dan bakat; manakala aspek personaliti meliputi watak, sifat, penyesuaian diri, minat, emosi, sikap dan motivasi.
Kesimpulannya, personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. Individu yang mempunyai konsep kendiri akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitarannya. Gaya percakapan, cara bertindak, tingkah laku yang ditunjukkan dan cara seseorang itu berinteraksi dengan persekitaran dapat membantu mengenali personaliti seseorang. Justeru, perkembangan kanak-kanak amat berkait rapat dengan perkembangan kendiri dan dapat dibahagikan kepada dua aspek iaitu personaliti dan konsep kendiri.
KONSEP PERSONALITI
Personaliti berasal daripada perkataan Latin, “persona” yang bermaksud topeng yang digunakan oleh penggiat seni semasa pementasan. Ia lebih dikaitkan sebagai watak yang ingin menonjolkan sifat baiknya di luaran dan menyembunyikan keburukannya melalui topeng.
Imam Al-Ghazali (1058-1111) banyak membicarakan tentang hati, akal dan nafsu. Dalam teori ini, kerohanian yang menguasai atau mengawal jasad manusia. Dalam Al-Quran juga terdapat istilah yang berkaitan dengan ilmu ini iaitu nafsu, hati dan akal. Fungsinya untuk mencari dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada hati dan menghampiri Allah s.w.t. Manusia dilahirkan dalam keadaan suci tetapi perubahan bergantung kepada akal, nafsu dan hati. Insan yang mempunyai personaliti yang sempurna apabila jasmani, akal dan rohnya seimbang. Al-Ghazali menekankan konsep Keabadian Jiwa atau ’Everlasting Nature of Soul’ yang wujud dalam agama dan mempercayai kehidupan selepas mati.
Allport (1961) menyatakn personaliti sebagai satu organisasi dinamik sistem psikofizik yang ada dalam diri individu. Ia menentukan ciri-ciri tingkah laku dan penyesuaian individu dengan persekitarannya. Crow dan Crow (1983) berpendapat, personaliti biasanya digunakan untuk menghuraikan perwatakan fizikal seseorang, corak pertuturan atau daya penarik yang dimilikinya.
Sigmund Freud mendefinisikan personaliti sebagai sifat-sifat yang mencerminkan diri individu yang bolah diperhatikan oleh orang lain atau merujuk kepada perasaan-perasaan yang dialami oleh seseorang dalam dirinya sendiri.
Kesimpulannya, personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri seseorang.
KLASIFIKASI PERSONALITI
Menurut Carl Jung (1875-1961), manusia boleh diklasifikasikan kepada tiga kumpulan berdasarkan personaliti peribadi iaitu introvert, ekstrovert dan ambivert.
RAJAH 1.1 : PENGELASAN PERSONALITI
(i) Personaliti introvert
Seseorang yang mempunyai personaliti ini mempunyai minat dan keupayaan yang tinggi menerokai dunia dalaman seperti pemikiran, perasaan dan pengalaman seseorang. Ia sentiasa suka berseorangan, merenung, memfokus terhadap dirinya, sukakan aktiviti solo, tekun, tegas, malu dan mempunyai pandangan hidup yang pesimistik . Golongan ini sentiasa menyimpan perasaan dan emosinya dalam situasi nyata, tidak banyak bercakap dan banyak masanya ditumpukan untuk mendengar pertuturan orang lain.
(ii) Personaliti ekstrovert
Individu yang ekstrovert mempunyai minat yang tinggi terhadap dunia luar dan orang. Golongan ini merupakan individu yang ’out-going’, suka bercakap, peramah, mudah bergaul, tidak boleh diharapkan, optimis dan sentiasa sukakan keceriaan. Mereka suka melibatkan diri dalam aktiviti sosial kerana ini membolehkannya bergaul dengan orang ramai.
(iii) Personaliti ambivert
Individu daripada kumpulan ini mempunyai trait daripada kedua-dua jenis personaliti. Mereka merupakan gabungan kedua-dua personaliti ini dan berkemungkinan bersifat seperti aktif, sensitif, optimistik dan suka kepada kehidupan teratur.
Teori personaliti lain yang mengkaji perkembangan personaliti manusia yang melambangkan diri setiap individu yang wujud di muka bumi ini. Teori psikoanalisis diasaskan oleh Sigmund Freud mempercayai personaliti manusia dibentuk semenjak manusia dilahirkan sehinggalah ke umur lima tahun. Terdapat tiga komponen personaliti iaitu id, ego dan superego untuk mengawal perlakuan
Freud juga mempercayai personaliti seseorang dipengaruhi oleh perkembangan psikososial seseorang. Teori yang bersifat biologi ini melibatkan perkembangan tenaga seksual (libido) dari satu peringkat ke peringkat yang lain. Perkembangan terencat apabila seseorang kanak-kanak mengalami trauma dan kesannya akan membuatkan mereka kurang berupaya berdepan dengan krisis dalam peringkat perkembangan seterusnya.
(i) Peringkat mulut / oral ( lahir- ½ tahun)
Pada peringkat ini, personaliti lebih tertumpu pada id. Bayi dikawal oleh impuls biologi dan bersifat mementingkan diri. Mereka dikuasai sepenuhnya oleh naluri mereka. Pada tahap ini, kepuasan diperolehi oleh bayi pada bahagian mulut kerana bayi dikawal oleh prinsip seperti menghisap, menggigit dan menelan. Jika bayi mendapat layanan yang baik pada tahap ini, trait personalitinya sebagai optimistik, mesra dan mudah bekerjasama dapat dilihat namun sekiranya dia tidak mendapat kepuasan ini, personaliti individu yang pendiam, pasif dan suka merokok akan ditonjolkan. Manakala bayi yang tidak dapat kepuasan menggigit akan kuat bercakap, kasar, agresif, suka menggigit objek lain seperti kuku dan pensil.
(ii) Peringkat dubur ( 1 ½ - 3 tahun )
Pada usia ini, zon kelazatan beralih ke kawasan dubur dan melibatkan latihan tandas. Maka, membuang dan menahan air besar merupakan satu kepuasan. Kanak-kanak yang sering menahan dari membuang air besar akan berpersonaliti kedekut, merendah diri dan terlalu pembersih manakala kanak-kanak yang membuang air besar merata-rata akan berpersonaliti agresif, zalim, pengotor, suka membuat bising dan bersikap pelampau. Kanak-kanak pada peringkat ini perlu diberi peluang untuk berdikari, mempunyai autonomi dan tahu mengawal diri sendiri.
(iii) Peringkat qubul ( 3 - 6 tahun )
Pada peringkat ini, sumber kepuasan libido berpindah kepada organ kejantinaan. Keadaan ini dapat dilihat apabila pada peringkat ini, kanak-kanak suka memegang organ seksnya . Ibu bapa yang selalu menghukum dan terlalu melarang anak-anak dari memegang organ seksnya akan menyebabkan anaknya pasif, pendiam, penakut, terlalu bergantung dan menurut perintah. Ibu bapa yang tidak melarang langsung akan menyebabkan anaknya berpersonaliti agresif, tidak bersopan santun, agresif dan kasar. Kanak-kanak juga akan menumpukan kasih sayang kepada insan yang berlainan jantina. Misalnya, anak lelaki dengan ibunya manakala anak perempuan dengan ayahnya. Oleh itu, ibu bapa harus peka terhadap perasaan anak. Mereka perlu membahagikan kasih sayang dan perhatian yang rata dan perlekatan pada tahap ini akan merenggangkan hubungan antara bapa dengan anak lelaki dan ibu dengan anak perempuan.
(iv) Peringkat latency
Peringkat ini bermula apabila kanak-kanak mula bersosial dan mengalihkan perhatian kepada orang lain selain daripada ibu bapa dan keluarga. Mereka perlu diberi peluang bergaul bagi memenuhi keperluan sosial mereka namun masih dalam kawalan ibu bapa. Kanak-kanak yang tidak merasai kepuasan berkawan akan menunjukkan tingkah laku yang negatif apabila dewasa kelak. Mereka sukar bergaul, mengasingkan diri, suka menyendiri dan terkongkong.
(v) Peringkat genital (selepas baligh hingga dewasa)
Tahap kejantinaan ini menampakkan semula kemunculan kecenderungan seks yang dialami semasa individu itu berada pada zaman kanak-kanak. Pada peringkat ini, remaja mula mengambil tahu dan menaruh minat terhadap rakan sebaya yang berlainan jantina. Pada waktu ini juga, remaja juga mula memikirkan isu berpasangan, perkahwinan dan masa depan. Individu pada peringkat ini akan cuba memuaskan segala apa yang tidak dapat dicapai pada masa zaman kanak-kanak dahulu seperti kepuasan seks pada zon mulut, dubur dan qubul. Ini akan mengakibatkan pembentukan personaliti yang dihasilkan oleh konflik-konflik yang berlaku pada zaman kanak-kanak menonjol dan menjadi dominan.
Kesimpulannya, dalam membentuk personaliti yang diinginkan, Freud percaya cara didikan dan layanan yang diterima oleh individu semenjak kecil sangat mempengaruhi personaliti seseorang. Oleh itu, ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling perlu membantu perkembangan kendiri kanak-kanak supaya mereka dapat mengatasi konflik-konflik yang timbul pada setiap peringkat perkembangan.
Teori trait iaitu personaliti, bentuk badan dan perlakuan juga menyumbang kepada pembentukan personaliti. Wiiliam Sheldon (1942) mengklasifikasikan tiga bentuk tubuh atau somatotip dengan tiga set personaliti.
TOKOH PELOPOR BAGI TEORI PERSONALITI
Dalam membentuk teori personaliti kemanusiaan, Carl Rogers memberi tumpuan kepada individu dan kendirinya. Mengikut pendapatnya lagi, seseorang itu mempersepsikan objek serta pengalaman – pengalaman dan memberi makna kepadanya. Sistem persepsi dan pemberian makna yang berkeseluruhan ini membentuk “ruang fenomenal” individu berkenaan dan dalamnya, ada peristiwa yang disedari serta ada yang tidak disedarinya.
Sigmund Freud pula mengasaskan teori Psikoanalisis. Menurut beliau, personaliti manusia dibentuk semenjak manusia dilaksananakan hingga usia lima tahun (Mahmood Nazar, 2005). Freud juga berpendapat bahawa personaliti mempunyai tiga komponen iaitu id, ego, dan super ego yang sering mempengaruhi antara satu sama lain dalam mengawal perbuatan manusia.
Id ialah bahagian manusia yang tidak sedar dan ia merupakan satu dorongan biologikal dan naluri. Id tidak dapat membuat penilaian dan tidak mementingkan logik, nilai, moral atau etika. Id akan mendorong manusia untuk bertindak demi kepuasan tanpa mengambil kira akibatnya, undang-undang, dapat sosial atau keperluan orang lain. Ciri ini dapat dilihat jelas dalam perkembangan kanak-kanak kecil yang suka berkelakuan mengikut kemahuan dirinya tanpa mengambil peduli keperluan orang lain.
Ego pula ialah aras sedar yang mana subsistem personaliti terbentuk melalui pengalaman dan alam realiti. Ciri ini mula terbentuk pada tahun pertama kehidupan individu yang mana kanak-kanak mendapati tidak semua kehendaknya dapat dipenuhi dengan segera. Sekiranya id tidak dapat memenuhi sesuatu keperluan, ego mula wujud untuk mencari cara rasional dalam mengatasi kekecewaan. Tugas ego secara tidak langsung ialah mengawal id yang tidak dapat dipuaskan melalui pemikiran yang realistik, logikal, serta dapat membuat perancangan yang sesuai. Oleh itu, seseorang itu dapat berfikir secara matang dan selanjutnya menyesuaikan diri dalam satu persekitaran.
Komponen ketiga iaitu superego yang juga dikenali sebagai aras pra sedar merupakan struktur personaliti yang beroperasi atas prinsip kesempurnaan. Kebiasaannya superego menggabungkan moral dan nilai-nilai masyarakat. Superego akan mengawal kehendak ego dan memberi penilaian sama ada tingkah laku yang ditonjol ego benar atau salah yang mana bertindak sebagai penghalang tingkah laku salah dan mencegah segala tingkah laku yang tidak diingini dalam diri manusia. Struktur ini juga akan mengawal segala yang dikehendaki oleh id, mempengaruhi ego dalam usaha mencari jalan memenuhi kehendak id dengan cara yang baik bersesuaian dengan cara, nilai, budaya, kepercayaan, dan agama sesebuah masyarakat.
Namun begitu, terdapat sedikit perbezaan yang dapat kita teliti di sini di antara teori pemikir Barat dan teori pemikir Islam. Tokoh pemikir Islam yang unggul iaitu Imam Ghazali juga memberikan pendapatnya terhadap personaliti setiap individu berlandaskan Al-quran dan hadis. Beliau berpendapat bahawa seseorang individu yang mempunyai personaliti yang seimbang dikatakan sebagai individu yang mana hati dan minda mempengaruhi semua kehendaknya. Sekiranya hati dan minda dalam keadaan yang baik dan positif, semua kehendak dapat dikawal dengan sebaiknya. Tambahan pula, teori beliau lebih menjurus kepada ajaran agama Islam dan ketuhanan yang mana seseorang dengan pegangan agama yang kukuh mampu menghasilkan personaliti yang baik.
Berbeza pula dengan pendapat Freud, tokoh Barat yang beragama Yahudi tidak mempercayai tuhan dan beliau lebih banyak berbincang tentang tingkah laku berbanding aspek perasaan atau jiwa seseorang. Pendapat ini bertentangan dengan hadis Rasulullah riwayat Bukhari dan Muslim yang mementingkan kedudukan hati bermaksud, ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya, ketahuilah itulah yang dikatakan hati. Hadith ini bermaksud hati atau jiwa adalah pembentuk hidup seorang kerana hatilah yang memegang peranan yang amat penting dalam urusan menggerak atau memberhentikan, memperelok atau mencederakan perbuatan atau tingkah lakunya sekalipun hati adalah terjadi dari seketul daging. Jelaslah di sini, Islam mementingkan penjagaan hati berbeza dengan teori Barat yang banyak membicarakan aspek tingkah laku sedangkan mengikut Islam daripada hatilah terbentuknya tingkah laku.
KEPENTINGAN GURU MEMAHAMI PERSONALITI MURID
Personaliti setiap pelajar di dalam kelas berlainan dari pelbagai aspek. Guru seharusnya memahami personaliti setiap muridnya. Dengan ini, terdapat pelbagai kepentingan bagi guru supaya memahami personaliti muridnya. Antara kepentingannya ialah guru dapat mengenal pasti kelemahan dan kelebihan anak muridnya. Apabila kelemahan dan kelebihan mereka dapat dikenal pasti, guru dapat mengajar dengan menggunakan pelbagai kaedah pengajaran yang menarik dan lebih berkesan serta bersesuaian. Sebagai contoh, guru boleh mengajar murid yang gemar aktiviti luar dengan menggunakan kaedah lawatan dan soal jawab kerana mereka lebih suka mendapatkan ilmu dan pengalaman di luar bilik darjah. Bagi pelajar yang kurang gemar aktiviti luar yang personalitinya agak pasif, guru haruslah mendorong mereka untuk mendekati murid yang gemar aktiviti luar dengan menggabungkan mereka dalam satu kumpulan.
Selain itu, guru juga mampu meramal gerak balas dan tingkah laku yang mungkin timbul dalam sesuatu situasi. Dengan ini, guru dapat membuat persediaan bagi menghadapi situasi yang tak dijangka. Misalannya, kadang-kadang guru tidak menjangka murid yang agak pasif akan rendah diri meruntuhkan keyakinannya apabila soalan yang ditanya tidak dapat dijawab dengan baik seterusnya ditertawakan oleh semua rakan-rakannya. Dalam hal ini,guru perlu bersiap sedia dengan soalan yang agak mudah untuk disoalkan kepada murid itu semula agar keyakinannya dapat diraih semula dalam diri mereka lebih-lebih lagi di hadapan pelajar-pelajar lain.
Guru juga boleh mendorong murid menonjolkan kebolehan mereka di dalam kelas. Sebagai contoh, seandainya seorang pelajar yang dikenalpasti mempunyai kebolehan melukis, guru boleh menyuruhnya melukis gambar di hadapan kelas. Kesannya, pelajar tersebut akan berasa dihargai dan diberi penghormatan oleh guru dan rakan-rakannya yang lain. Ini secara tidak langsung dapat membantu memperbaiki personaliti pelajar, daripada seorang yang sering merendah diri menjadi seorang lebih yakin untuk tampil ke hadapan manakala daripada seorang yang agak yakin menjadi lebih yakin untuk menonjolkan kebolehannnya.
Sejajar dengan itu, diskriminasi dalam kalangan murid tidak akan berlaku kerana guru dapat memandang semua pelajarnya adalah sama yang mana masing-masing mempunyai kelebihan dengan memberikan peluang yang sama rata kepada semua pelajarnya tanpa hanya membuat persepsi buruk terhadap pelajar yang mempunyai personaliti yang negatif dan membuat persepsi yang baik terhadap pelajar yang berpesonaliti positif. Sebagai contoh, guru perlu menerima pandangan semua anak muridnya terhadap tajuk yang diajar dalam kelas sama ada betul atau salah tanpa mengambil kira personaliti muridnya yang bagaimana. Kesannya, hubungan baik di antara guru dan pelajar dapat diwujudkan yang mana pelajar akan menganggap guru dan rakan-rakannya mempercayainya seterusnya membantu perkembangan personalitinya ke arah positif.
PENGENALAN KONSEP KENDIRI.
Pembangunan Kendiri merupakan satu aspek yang amat penting khususnya dalam menghadapi arus globalisasi dunia semasa. Dengan adanya pengetahuan yang mendalam terhadap aspek pembangunan kendiri, seseorang dapat mempersiapkan dirinya secara mental bagi menghadapi cabaran yang wujud dalam arus semasa. Setiap individu mempunyai anggapan terhadap diri sendiri dan bagaimana orang lain memandang dirinya. Konsep kendiri adalah merujuk kepada apa yang difikirkan oleh individu kepada dirinya sendiri mengenai kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri individu tersebut ataupun personalitinya. Oleh kerana itu, konsep kendiri merupakan satu elemen yang sangat penting dalam diri setiap individu kerana ia akan digunakan untuk meramalkan apa yang akan berlaku terhadap individu tersebut pada masa hadapan. Selain itu, konsep kendiri juga banyak membantu individu untuk membuat keputusan dan menentukan tindakan yang bakal diambil pada masa hadapan. Konsep Kendiri amat berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Secara amnya, sebagai seorang guru atau pendidik yang bertanggungjawab mestilah memahami dan mengamalkan konsep kendiri ini dalam kehidupan seharian. Konsep kendiri sudah diterima sebagai suatu pemboleh ubah penting yang mampu untuk mengingatkan perkembangan pelajar dan pembelajaran mereka. Seseorang pelajar dikelilingi oleh persekitaran sosial yang bertindak mempengaruhinya membuat keputusan dan menentukan masa depan. Agen-agen persekitaran seperti ibu, bapa, guru dan rakan sebaya adalah agen yang mempengaruhi seseorang pelajar. Agen-agen tersebut membantu seseorang pelajar bertindak hasil daripada apa yang difikirkan dalam mindanya.
Rogers (1951)adalah tokoh penting yang membicarakan tentang konsep kendiri. Melalui Terapi Pusatan –Klien beliau mengemukakan teori konsep kendiri yang dikatakan lebih bersifat kemanusiaan. Pada asas setiap individu sama ada pelajar dan bukan pelajar adalah golongan yang dilahirkan lengkap, berbudi dan boleh dipercayai. Dalam erti kata lain, setiap individu yang baru dilahirkan adalah diibaratkan seperti kain putih. Agen-agen yang berada disekelilingnya akan mencorakkan kain putih tersebut mengikut corak yang diminati mereka.
Dalam kehidupan seharian seorang pelajar, mereka akan menempuh pelbagai bentuk interaksi dengan persekitarannya. Oleh kerana itu, pelajar tersebut akan membuat keputusan dan menentukan apakah tinadakan yang akan diambil. Apabila berlaku interaksi pelajar dengan persekitarannya, maka konsep kendiri akan timbul dan mula terbentuk dalam diri setiap pelajar . Selain itu, sifat kendiri bagi seseorang individu juga boleh terbentuk apabila seseorang itu membayangkan dan mengambil nilai-nilai yang terdapat pada orang lain dan menjadikan nilai tersebut sebagai nilai dirinya sendiri. Lama kelamaan sifat kendiri itu akan menjadi semakin tekal. Seseorang individu akan bertindak mengikut apa yang dipegangnya. Dalam kehidupan seharian seseorang individu akan berhadapan dengan perkara yang sentiasa bertentangan dengan sikap kendiri dirinya. Tentangan ini boleh dianggap sebagai satu bentuk ‘ancaman’ kepada struktur kendiri yang terbentuk dalam diri seseorang.
TEORI KONSEP KENDIRI
“Perihal bagaimana seseorang itu berpendapat tentang dirinya, berdasarkan kesedaran tentang kelebihan dan kelemahan dan juga melalui maklumat yang diterimanya daripada orang lain. Sikap dan penilaian yang dibuat oleh orang lain biasanya menjadi asas bagi membina konsep kendiri seseorang itu.” (Vernon,1980)
Konsep kendiri merujuk kepada apa yang difikirkan oleh seseorang individu mengenai kekuatan atau kelemahan yang ada pada diri atau personalitinya. Konsep kendiri tersebut akan menjadi sesuatu yang penting kerana konsep tersebut akan digunakan untuk meramal masa depannya atau tindakan yang bakal diambil. Terdapat dua kemungkinan apabila seseorang itu mengambil sesuatu keputuasan sama ada gagal ataupun Berjaya dalam keputusan yang diambil. Selain itu, konsep kendiri juga mempengaruhi impian pelajar pada masa akan datang dan harapan-harapan yang telah dibina oleh mereka.
Konsep kendiri terdiri daripada persepsi, kepercayaan, perasaan, sikap serta nilai yang khusus dipegang oleh seseorang individu tentang dirinya.
(H. V. Perkins)
Konsep kendiri sebagai tanggapan individu terhadap identitinya yang berbeza dengan individu yang lain sejak dari bayi lagi.
(Stewat dan Friedman)
Konsep kendiri ialah integrasi pengetahuan bersama dengan reaksi seseorang yang membezakan dirinya daripada individu lain.
(Popplestone dan McPherson)
Konsep kendiri ialah integrasi penilaian diri sendiri, penilaian orang lain, dan penilaian tentang tanggapan orang lain terhadap dirinya.
(Amir Awang, 1991)
CIRI KONSEP KENDIRI POSITIF
Seseorang yang berkonsep kendiri positif mempunyai penerimaan kendiri dan mempunyai kefahaman tentang diri sendiri. Individu yang mempunyai konsep kendiri positif boleh memahami dan menerima pelbagai fakta tentang dirinya. Seseorang yang berkonsep kendiri positif juga akan menetapkan matlamat dan tujuan yang sesuai dengan kebolehan kendirinya. Individu ini juga akan menghasilkan beberapa ciri tingkah laku yang menunjukkan keperibadian yang tinggi.
Pertama, seseorang yang tertanam di dalam dirinya konsep kendiri yang positif akan sentiasa merasa bebas untuk membuat pilihan dan keputusan. Jarang sekali mereka berdepan dengan dilema ataupun masalah dalam membuat pilihan atau keputusan. Jika individu ini membuat keputusan, mereka tidak akan teragak-agak serta mereka boleh membuat pilihan tanpa terikat dengan pengaruh rakan atau desakan keluarga.
Seterusnya, contoh seperti sikap bertanggungjawab di atas segala tingkah laku adalah merupakan sifat individu berkonsep kendiri yang positif. Individu tersebut juga akan mengakui kesilapannya jika dia telah melakukan sesuatu kesilapan ataupun dia mempunyai tanggungjawab terhadap apa yang berlaku di persekitarannya.
Selain itu, contoh lain bagi individu yang berkonsep kendiri yang positif ialah mempunyai perasaan bangga dengankejayaan yang dicapai. Ini bukanlah bermaksud mereka mempunyai perasaan riak dan takabur, tetapi mereka akan bersyukur di atas kejayaan tersebut. Selain itu, mereka juga mempunyai hala tuju dan matlamat yang realistik.
Semangat dan iltizam yang tinggi merupakan elemen yang penting kepada individu yang berkonsep kendiri positif. Mereka akan menghadapi cabaran dengan penuh semangat serta percaya kepada kebolehan diri dan tidak mudah mengalah atau berputus asa. Mereka juga sentiasa berfikiran positif dan menjadikan cabaran sebagai semangat untuk terus berjaya dalam hidup.
Di samping itu, perasaan gembira dan riang adalah perasaan seorang individu yang mempunyai konsep kendiri positif. Mereka pandai menyembunyikan masalah walaupun mereka mempunyai banyak masalah serta tidak pernah mengeluh dan menganggap masalah tersebut sebagai satu cabaran yang perlu diatasi. Mereka akan rasa sangat gembira jika masalah tersebut dapat diatasi dan sekiranya tidak, mereka akan merujuk serta meminta nasihat daripada orang yang boleh dipercayai dan memhami diri mereka.
Boleh bertolak ansur dengan kekecewaan merupakan konsep kendiri positif yang membantu individu menanggani kekecewaan yang dihadapinya. Mereka tidak merasa kesal atau berputus asa serta menerima dengan hati yang terbuka dengan kegagalan atau kekecewaan yang dihadapi oleh mereka. Kegagalan akan memberi semangat yang baru untuk mereka terus mencuba.
Di samping itu, individu berkonsep kendiri positif mempengaruhi orang lain dengan menunjukkan ciri-ciri konsep kendiri positif seperti bertanggungjawab, bangga dengan kejayaan, selalu gembira serta menghadapi cabaran dengan semangat. Mereka dapat mempengaruhi orang lain dalam usaha mendapat tempat dalam kalangan masyarakat atau membuat keputusan.
Sifat menghargai meliputi menghargai diri sendiri dan orang lain. Individu berkonsep kendiri positif akan membentuk sikap menghargai kebolehan, pencapaian, kewibawaan diri dan dalam masa yang sama mampu menghargai orang lain. Memberi pujian dan penghormatan kepada orang lain akan menambahkan lagi pengaruh kerana orang yang diberi penghargaanakan merasa dihargai dan diambil berat.
Tambahan pula, individu yang pemurah dan suka membantu orang lain merupakan individu yang mempunyai konsep kendiri positif. Mereka merasa bertanggungjawab untuk menghulurkan bantuan dan menyelesaikan masalah mereka yang memerlukan. Perbuatan ini sangat mulia dan patut ada dalam setiap diri individu.
Akhir sekali, individu yang mempunyai sifat-sifat diatas didapati senang mendapat kawan dan disenangi oleh orang persekitaran. Ramai orang suka mendampingi mereka kerana sikap mereka yang tidak sombong, pandai menghargai rakan dan sentiasa membantu orang yang memerlukan bantuan.
Secara tuntasnya, individu yang mempunyai konsep kendiri positif mempunyai banyak kelebihan kepada dirinya yang boleh memudahkan individu tersebut berinteraksi dengan masyarakat. Masyarakat juga senang dengan kehadiran mereka yang membawa sikap positif yang boleh menjadi teladan kepada semua ahli masyarakat.
CIRI KONSEP KENDIRI NEGATIF
Individu yang tidak mengenali dirinya sendiri merupakan individu yang mempunyai konsep kendiri negatif. Sifat mereka ialah kurang mempercayai diri sendiri serta tidak yakin dalam melontarkan pandangan atau idea. Mereka juga merasakan diri mereka selalu disisihkan dan tidak diperlukan. Ciri-ciri konsep kendiri negatif seperti membuat jangkaan prestasi yang tidak realistik dan penghargaan kendiri yang rendah mestilah dikenalpasti daripada peringkat perkembangan kanak-kanak. Oleh yang demikian, ibu bapa dan guru harus menolong kanak-kanak menyesuaikan diri dan mempunyai pandangan yang realistik dan positif terhadap diri mereka.
Terdapat dua jenis konsep kendiri negatif. Jenis yang pertama melibatkan pandangan individu terhadap dirinya yang tidak teratur, tidak mantap serta tidak menampakkan pembinaan karakter yang sempurna. Mereka tidak mengenali diri sendiri, tidak mengetahui kelemahan dan kekuatan diri malah tidak dapat mengenalpasti keinginan dalam hidupnya. Hal ini acap kali berlaku dalam kalangan remaja yang masih tercari-cari identiti diri. Oleh yang demikian, orang yang lebih dewasa bertanggungjawab membentuk konsep kendiri mereka dengan baik.
Konsep kendiri negatif yang stabil akibat daripada pengaruh persekitaran atau asuhan ialah jenis konsep kendiri negatif yang kedua. Misalnya, mereka menjadi seorang pendiam, tidak bertimbang rasa dan pemarah akibat daripada asuhan yang diterima. Ciri ini seterusnya menjadi konsep kendiri mereka yang stabil.
Oleh yang demikian, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan terbentuknya konsep kendiri negatif pada kanak-kanak. Antaranya ialah pengaruh iklan dan pengaruh sebaran am seperti rancangan televisyen, pita-pita video daripada luar negara yang mempunyai unsur-unsur negatif yang boleh mempengaruhi minda dan pemikiran mereka. Hal ini kerana wujudnya sifat inkuiri atau sifat ingin tahu serta mencuba sesuatu yang baru dalam diri kanak-kanak yang ingin meningkat remaja sedangkan mereka tidak dapat membezakan mana satu yang baik dan mana satu yang buruk. Justeru, berlakulah banyak gejala negatif dalam masyarakat akibat daripada pengaruh ini.
Seterusnya, faktor lain yang menyebabkan berlakunya konsep kendiri negatif ialah berlakunya kemerosotan nilai-nilai murni serta nilai-nilai disiplin dalam diri seseorang itu. Hal ini sering kali berlaku kerana kebanyakan individu mahukan kebebasan dan kurangnya didikan awal daripada ibu bapa dan keluarga individu tersebut. Ibu bapa hanya mengambil sikap endah tak endah kepada anak-anak mereka serta membiarkan membiarkan mereka tanpa memberi tunjuk ajar yang betul. Maka, wujudlah konsep kendiri negati dalam individu tersebut akibat daripada faktor keluarganya.
Selain itu, pengaruh persekitaran seperti ibu bapa, guru, rakan sebaya dan masyarakat yang tidak menunjukkan contoh teladan yang baik kepada kanak-kanak merupakan faktor terbentuknya konsep kendiri negatif. Mereka juga melemparkan kritikan dan komen yang tidak wajar kepada kanak-kanak. Sepatutnya, kanak-kanak memerlukan kasih sayang, akan tetapi telah dicemuh. Mereka memerlukan belaian kasih sayang daripada ibu bapa mereka dan bukan keperluan kebendaan sahaja. Ibu bapa juga janganlah terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada kanak-kanak kerana ini akan manggangu emosi kanak-kanak yang merasa terbeban dengan harapan ibu bapa mereka.
Faktor lain yang menyebabkan berlakunya konsep kendiri negatif juga ialah kanak-kanak yang mempunyai pandangan rendah terhadap diri sendiri. Kanak-kanak yang mempunyai masalah emosi selalunya mempunyai masalah berkaitan fizikal seperti kecacatan dan mengalami pengalaman traumatik. Hal ini sering berkaitan kerana masalah emosi sering berkait rapat dengan persekitaran kanak-kanak tersebut. Jika persekitarannya bermasalah, maka emosi akan terganggu. Justeru, kanak-kanak ini tidak dapat menguasai sesuatu tugas perkembangan.
Sebaliknya, ciri konsep negatif bertentangan dengan ciri konsep kendiri yang positif. Individu yang menunjukkan konsep kendiri negatif akan menunjukkan ciri seperti selalu meminta pertolongan. Ini menunjukkan individu tersebut tidak mempunyai daya usaha untuk memajukan diri sendiri. Selain itu, individu tersebut juga menunjukkan sikap suka menagih simpati kepada oang lain untuk mendapatkan sesuatu. Jika permintaannya tidak dipenuhi, individu tersebut akan merasa tersinggung dan merajuk. Sikap yang ditununjukkan ini jelas menggambarkan individu tersebut adalah seorang yang sensitif.
Di samping itu, individu yang mempunyai konsep kendiri negatif juga selalu memberi kritikan atau komen yang menyinggung. Individu jenis ini selalu nampak kesalahan orang lain tetapi jarang ataupun tidak pernah untuk mengubah diri sendiri terlebih dahulu. Individu tersebut juga selalu merasa tidak berpuas hati sama ada terhadap diri sendiri ataupun orang lain. Mereka tidak pernah rasa bersyukur terhadap nikmat kurniaan Allah yang begitu banyak sekali dalam hidup mereka.
Antara ciri lain individu yang mempunyai konsep kendiri rendah ialah selalu berangan-angan dan risau tentang pelbagai perkara. Individu yang mempunyai sifat ini adalah individu yang tidak mempunyai matlamat, visi dan misi dalam hidup mereka. Hidup mereka kosong kerana hidup mereka tidak mempunyai arah dan tujuan dalam mencapai kejayaan didunia dan diakhirat.
Selain itu, sikap mementingkan diri sendiri dan suka menyalahkan orang lain juga merupakan ciri-ciri konsep kendiri negatif. Individu ini merasakan apa yang dilakukan oleh dia adalah semuanya betul tanpa menghiraukan orang lain. Sikap pentingkan diri sendiri yang ditunjukkan oleh individu tersebut menunjukkan dia tidak mempunyai sifat toleransi dalam perhubungan. Individu ini akan membawa pelbagai masalah jika dia berada di dalam kelompok masyarakat.
Salah satu ciri konsep kendiri negatif yang penting juga ialah berkeyakinan diri yang rendah serta bersikap pasif. Mereka merasa terlalu banyak kekurangan yang ada di dalam diri mereka yang menyebabkan mereka merasa kurang yakin apabila berada dikhalayak ramai seterusnya mengambil sikap berdiam diri dan tidak ambil peduli. Ini jelas menunjukkan bahawa inidividu jenis ini mempunyai kemahiran komunikasi yang sangat lemah oleh sebab sikap mereka yang pasif dan kurang berkeyakinan itu.
Seterusnya, individu yang berkonsep kendiri negatif juga mempunyai ciri tidak sukakan cabaran. Mereka merasa cabaran merupakan satu bebanan berat yang perlu ditanggung oleh mereka. Oleh yang demikian, mereka akan rasa murung dan tertekan apabila sesuatu masalah terjadi kepada mereka. Justeru, hidup individu ini akan menjadi kucar-kacir akibat daripada sikap mereka yang tidak suka akan cabaran dan hanya ingin mengambil jalan mudah sahaja.
HELAH BELA DIRI
Helah bela diri ialah satu proses yang dilakukan oleh manusia secara sedar ataupun tidak sedar. Helah bela diri ini dilakukan untuk memperthankan ego, ancaman, dan kebimbangannya. Kebiasannya, helah ini digunakan oleh individu yang sedang dalam kerisauan. Satu kajian telah dilakukan oleh Sigmund Freud dan beliau telah mengklsifikasikan konsep kendiri kepada beberapa bahagian.
Rasionalisasi ialah memberikan penerangan atau alasan yang kelihatan munasabah dan logik terhadap sesuatu tingkah laku untuk melindungi atau menyembunyikan motif yang sebenar. Rasionalisasi juga sering digunakan untuk mempertahankan ego seseorang. Secara kesimpulannya, rasionalisasi ialah penjelasan atau sebab satu-satu situasi itu tidak dapat diterima. Sebagai contoh : seorang murid yang gagal dalam peperiksaan akan memberikan alasan bahawa gurunya bersikap pilih kasih.
Sublimasi merupakan helah bela diri yang paling sihat. Ia adalah satu cara untuk individu menyalurkan kekecewaanya kepada saluran yang dapat menerima dan yang memuaskan individu tersebut dari segi sosial. Keinginan tersebut dapat dipuaskan melalui aktiviti yang diterima oleh masyarakat. Sebagai contoh seseorang ibu yang kematian anak akan mengambil anak angkat dan mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada anak angkat tersebut.
Pemindahan ialah satu proses yang berlaku apabila seseorang individu memindahkan rasa kecewanya kepada seseorang individu yang lain. Pemindahan memerlukan seseorang individu yang dapat menerima kekecewaan tersebut dari individu lain. Biasanya orang yang menjadi mangsa terdiri daripada “inferior” yang dijangka tidak bertindakbalas terhadapnya. Sebagai contoh seseorang guru yang sedang dalam keadaan marah akan memindahkan rasa marah tersebut kepada murid-muridnya.
Projeksi ialah satu tindakan untuk seseorang individu membalikkan konflik yang terdapat dalam dirinya kepada orang lain. Seseorang akan berusaha untuk meletakkan kesalahan tersebut di atas bahu orang lain dengan dakwaan individu tersebut juga bersalah. Pandangan orang ramai akan dipesongkan agar kelemahan dan keaiban dirinya dapat dilindung. Contohnya seorang pelajar yang lemah dalam peperiksaan akan meniru dengan menganggap pelajar lain juga akan meniru.
Introjeksi ialah satu jenis helah bela diri yang berlawanan dengan projeksi. Seseorang individu akan menyerap pengaruh luar dan persiktaran ke dalam dirinya. Contohnya seorang pelajar akan mengikut ciri-ciri seorang guru jika pelajar tersebut menyukai guru tersebut.
Pembentukan reaksi ialah satu bentuk helah bela diri bagi mempertahankan diri daripada sesuatu ancaman dengan memperlihatkan satu reaksi yang bertentangan dengan reaksi tersebut. Sebagai contoh seorang pelajar yang akan menghadapi peperiksaan akan ketawa untuk menyembunyikan perasaan getar tersebut.
Kompensasi ialah menggunakan aktiviti lain yang hampir sama untuk menggantikan yang lain. Contohnya seorang individu yang lemah dalam akademik akan menggunakan kelebihannya dalam bidang sukan untuk mendapat perhatian daripada guru dan orang lain.
Represi ialah satu tindakan untuk mengatasi perasaan sedih atau kecewa dengan mengalihkan perasaan tersebut daripada kesedaran dan mempercayai bahawa perkara tersebut tidak wujud dan tidak berlaku. Menurut Freud, tindakan ini ialah seperti memendamkan fikiran, keinginan dan konflik kepada alam yang bawah sedar. Contohnya seseorang yang kehilangan seseorang yang disayanginya akan mendiamkan diri dan tidak mahu bercakap mengenainya seperti ingin membuang perasaan sedih tersebut daripada darinya. Apabila seseorang individu membenamkan emosi dalam dirinya, merekan akan mengalami tekanan yang akan menggagngu emosi driri mereka sendiri.
Regresi berlaku apabila seorang individu kembali kepada jenis tingkah laku yang terdahulu yang menjadi kebiasaan kepadanya semasa proses perkembangan dahulu. Sebagai contoh, seorang pelajar akan menangis jika tidak mendapat perhatian. Perbuatan tersebut adalah sesuatu yang dilakukan semasa kecil dahulu.
Fantasi ialah satu situasi yang membuatkan seseorang individu membentuk satu fantasi yang lebih selesa dalam fikirannya untuk melupakan segala masalah. Fikiran yang dibentuk adalah lebih selesa daripada keadaan sebenar. Contohnya seseorang yang miskin akan berfantasi untuk menjadi seorang yang kaya.
Penyangkalan merupakan satu bentuk helah bela diri yang menafi dan menolak realiti. Proses ini berlaku apabila individu tidak dapat menerima kenyataan. Sebagai contoh seorang yang didapati mengidap penyakit barah akan menafikan perkara tersebut dengan dengan mengatakan laporan doktor itu salah.
Identifikasi berlaku apabila seseorang cuba untuk melindungi kelemahan dirinya dengan menyamakan dirinya dengan orang yang mempunyai kelebihan. Kaedah ini merupakan kaedah penyesuaian yang sesuai. Sebagai contoh seorang pelajar akan berkawan rapat dengan kumpulan sorak sekolah untuk menunjukkan pelajar itu juga popular.
Keagrisifan ialah tindakan untuk meluahkan rasa kecewa secara agresif. Mereka akan mencederakan dan member ancaman untuk membendung kekecewaan. Contohnya seseorang kanak-kanak akan maraung dengan kuat kepada ibunya jika tidak dibelikan mainan.
KAITAN ANTARA KONSEP KENDIRI DENGAN PERSONALITI INDIVIDU.
Menurut Rogers (1959) kendiri merupakan satu organisasi atau aturan persepsi yang konsisten yang dilihat sebagai “aku”, “saya”, atau “diri”.Ini bermakna kendiri merupakan definisi yang diberi oleh seseorang individu tentang dirinya kepada orang lain secara sedar dengan menggunakan perkataan “saya” atau “aku”.
Konsep kendiri seorang individu itu akan kerap berubah kerana setiap manusia akan cuba mencapaiaoa yang diingininya. Namun begitu, setiap individu akan cuba untuk mengekalkan kualiti asal yang ada pada dirinya sendiri. Hal ini bergantung kepada pengalaman seseorang tentang pelbagai hal dari zaman kanak-kanak serta persepsi keseluruhan yang ada pada diri individu tersebut. Konsep kendiri terbentuk daripada perasaan penerimaan orang lain terhadap dirinya dan bagaimana layanan yang diperolehi daripada keluarga, masyarakat dan persekitaran. Ini bermakna penilaian terhadap konsep kendiri dapat dilihat daripada tiga sumber. Sumber yang pertama ialah kasih sayang atau sokongan yang diterima daripada persekitaran. Sumber kedua ialah kemampuan dan keupayaan diri dan sumber yang terakhir ialah penerimaan keluarga dan masyarakat sekitar terhadap dirinya.
Menurut Rogers, dalam diri setiap individu terdapat diri unggul iaitu bentuk atau konsep kendiri yang amat diingini oleh seseorang. Diri unggul ini mempunyai elemen seperti persepsi dan makna yang relevan pada dirinya serta sesuatu yang amat bernilai pada dirinya.
Sebagai kesimpulan, personaliti seseorang itu mempunyai perkaitan kuat dengan konsep kendiri. Ini kerana personaliti merupakan sifat-sifat atau ciri-ciri yang dimiliki oleh seseorang individu, seperti cara berfikir dan beremosi yang membolehkan dirinya dibezakan dengan individu lain.
FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN KONSEP KENDIRI
Setiap kanak-kanak adalah berbeza antara satu sama lain. Contoh perbazaan yang dapat dikenalpasti ialah perbezaan dari segi pembentukan konsep kendiri. Perbezaan pembentukan konsep kendir kanak-kanak dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti faktor model. Model ialah individu yang diikut oleh kanak- kanak tersebut seperti ibu bapa, rakan sebaya dan orang dewasa daripada pelbagai aspek dalam kehidupan mereka. Oleh itu, kanak-kanak mestilah mendapat bimbingan yang betul daripada golongan ini supaya konsep kendiri negatif dapat dibentuk dalam diri mereka. Jika model mereka bersifat negatif, maka kanak-kanak tersebut juga akan mengikut segala perbuatan negatif yang dilakukan oleh model mereka. Justeru, amat penting sekali kanak-kanak mendapat didikan yang betul dan sempurna supaya konsep kendiri positi dapat dibentuk dalam diri mereka.
Seterusnya, faktor persekitaran seperti budaya masyarakat setempat, persepsi masyarakat dan peranan media massa juga merupakan elemen yang penting dalam pembentukan sesuatu konsep kendiri. Budaya masyarakat amat penting dalam pembentukan konsep kendiri kerana kanak-kanak hidup dan dibesarkan di dalam masyarakat. Oleh itu, sudah tentu berlakunya proses asimilasi tabiat budaya di dalam diri kanak-kanak tersebut. Budaya lain seperti hedonisme juga merupakan faktor yang membentuk konsep kendiri kanak-kanak tersebut. Media massa juga memainkan peranan yang penting. Pada peringkat ini, media massa merupakan satu agen penyiaran yang penting kerana kanak-kanak banyak menonton televisyen. Justeru, media massa perlu bertanggungjawab dalam memastikan konsep kendiri positif dapat dibentuk dalam diri kanak-kanak dengan menyiarkan saluran-saluran yang berfaedah dan dapat menjana perkambangan minda kanak-kanak.
Di samping itu, sifat semulajadi seperti baka dan persepsi terhadap diri sendiri juga merupakan faktor pembentukan konsep kendiri. Baka yang diwarisi oleh ibu bapa akan membentuk konsep kendiri kanak-kanak tersebut. Oleh itu, bukan sahaja rupa paras sahaja yang akan diwarisi oleh ibu bapa, akan tetapi perangai ataupun tabiat ibu bapa tersebut juga akan mempengaruhi oleh kanak-kanak. Oleh yang demikian, amat penting sekali ibu bapa untuk mengawal emosi dan tingkah laku mereka supaya zuriat mereka menjadi baik terutamanya ibu ketika mangandung kerana segala perbuatan, pemakanan dan tingkah laku ibu akan turun kepada janin di dalam kandungannya. Justeru, ibu bapa hendaklah menjaga segala perbuatan mereka supaya zuriat mereka apabila dilahirkan nanti boleh menjadi seorang yang berguna.
Akhir sekali, kepercayaan kepada nilai-nilai keperluan seperti keselamatan, kasih sayang dan penghormatan diri adalah faktor pembentukan konsep kendiri. Nilai kasih sayang sayang amat penting sekali bagi seseorang kanak-kanak dalam membentuk konsep kendiri dalam dirinya. Jika kasih sayang tidak diberikan sekucukupnya, kanak-kanak tersebut akan membesar di dalam suasana yang serba kekurangan. Keselamatan juga penting bagi kanak-kanak kerana mereka masih kecil dan tidak dapat membezakan mana perkara yang bahaya dan tidak bahaya. Oleh itu, amat penting sekali bagi ibu bapa serta guru untuk menjaga keselamatan kanak-kanak bagi memastikan mereka dapat membentuk konsep kendiri yang positif.
PERANAN GURU DALAM PERKEMBANGAN KENDIRI MURID
Guru mestilah mengambil perhatian tentang perbezaan yang terdapat pada murid kerana setiap kanak-kanak adalah berbeza antara satu sama lain. Kesilapan guru ialah selalu mengandaikan murid-muridnya dalam sebuah kelas adalah sama. Hal ini akan membawa kepada pembentukan konsep kendiri yang salah. Oleh yang demikian, guru perlu memperbetulkan tanggapan yang salah ini serta guru mestilah memainkan peranan penting untuk membantu kanak-kanak dalam membentuk konsep kendiri yang positif.
Dalam hal ini, guru perlu peka dengan kebolehan dan minat setiap murid. Komunikasi dan interaksi yang baik dengan murid dapat membantu guru mengetahui kebolehan dan minat mereka. Dengan cara ini, guru boleh menggunakan kebolehan yang terdapat dalam diri murid untuk meningkatkan konsep kendiri yang positif dalam diri kanak-kanak tersebut.
Apabila kanak-kanak sedar akan keupayaan diri mereka, keyakinan diri mereka akan meningkat. Hal ini membolehkan kanak-kanak tersebut menjalinkan hubungan sosial yang baik dengan individu yang berada dekat denga persekitaran mereka. Oleh yang demikian, ia akan membawa kepada kemahiran interaksi yang baik, gaya percakapn yang berhemah dan dapat mengawal emosi dengan bijak. Ini adalah konsep kendiri positif yang terbentuk di dalam diri murid tersebut. Oleh itu, guru perlu menunjukkan tauladan yang baik serta menjadi model dalam pembentukan kendiri yang positif kepada murid-murid.
Selain itu, guru perlu merancang aktiviti pelajar yang berpusatkan murid. Apabila murid diberi peluang untuk menunjukkan kebolehannya di dalam bilik darjah, ia dapat monolong kanak-kanak membina konsep kendiri yang baik. Kanak-kanak juga perlu diberi peluang untuk meneroka kebolehan dan menggunakan bakat yang unik yang ada dalam setiap kanak-kanak.
Aktiviti luar bilik darjah seperti aktiviti kokurikulim juga dapat menanamkan sikap yang positif dalam diri murid-murid. Aktiviti-aktiti yang memerlukan murid-murid bekerja dalam kumpulan, menyelesaikan masalah, berdikari, berdisiplin, tolong-menolong dan menonjolkan sifat kepimpinan akan membantu murid membina konsep kendiri yang positif.
Oleh itu, guru perlu memberi sokongan dan dorongan kepada kanak-kanak serta membimbing dan menasihati mereka supaya kanak-kanak merasakan diri mereka berkebolehan dan berkeyakinan. Justeru, hal ini akan membantu membina watak kanak-kanak yang sihat dalam semua perkembangan.
Tuesday, July 06, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 nulih:
Post a Comment