Assalamualaikum dan salam sejahtera
Yang dihormati saudara Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang sentiasa berpaksikan keadilan dan masa seterusnya tuan-tuan dan puan-puan, hadirin hadirat sidang warga depan yang saya kasihi sekalian.
” Sistem Pendidikan di Malaysia ke arah melahirkan modal insan gemilang”, begitulah bunyinya tajuk pidato yang akan saya sampaikan di pagi yang mulia ini.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Belakangan ini, isu pembangunan modal insan kerap diperkatakan oleh masyarakat Malaysia. Hal ini adalah implikasi daripada pengenalan rangka kerja pelaksanaan baru iaitu Misi Nasional yang telah diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri kita, Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi bagi merealisasikan impian Malaysia yang ingin menjadi sebuah negara maju yang teguh, bersatu dan kekal utuh meskipun bakal berdepan dengan pelbagai cabaran, rintangan dan persaingan global.
Menurut Kamus Dewan, modal bermaksud kiasan sesuatu yang digunakan untuk mendapatkan sesuatu yang lain manakala insan ialah perkataan Arab bererti manusia. Maka, modal insane merupakan potensi, kemahiran atau tenaga manusia yang digunakan untuk mencapai matlamat pembangunan, kemajuan dan kemakmuran negara Menurut Ahmad Iman Arief dalam bukunya “Modal Insan Cemerlang”, modal insan atau lebih merujuk kepada penghasilan para remaja yang berketerampilan yang diyakini akan memasuki gerbang pekerjaan suatu hari nanti.Oleh itu, bagi memastikan modal insan itu mempunyai kualiti, pendidikan yang berterusan seawal kanak-kanak hingga ke menara gading amat diperlukan. Hal ini kerana golongan inilah yang mampu merealisasikan impian negara menjadi sebuah negara Islam yang maju menjelang tahun 2020 kelak.
Fadillah Mansor dalam artikelnya “Pembangunan Modal Insan” (Majalah Visi, April 2007) pula merujuk pembangunan modal insan sebagai pembangunan sumber manusia yang perlu digilap di peringkat awal iaitu semasa di usia muda kerana ia merupakan elemen penting bagi memastikan negara terus berdaya saing dan berdaya tahan lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi sejagat yang berlandaskan pengetahuan serta bertunjangkan sains dan teknologi . Modal insan melalui kekuatan jasmani dan rohani ialah aset terpenting yang harus dijana sebaik mungkin demi mencapai prinsip Al-Falah iaitu kejayaan di dunia dan di akhirat. Hal ini bertepatan dengan pernyataan dan gesaan Allah SWT dalam Surah Yusuf ayat 76, firman-Nya yang bermaksud: “Kami tinggikan darjat orang yang Kami kehendaki dan atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu, ada lagi yang maha mengetahui.”
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Misi Nasional menekankan usaha membangunkan modal insan secara holistik, melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual termasuk ilmu Sains Teknologi dan Keusahawanan, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai murni, sikap etika dan moral yang tinggi seperti yang ditegaskan di dalam Pelan Integriti Nasional (PIN).
Misi Nasional memberikan penekanan utama kepada pembangunan modal insan "minda kelas pertama” dan bina upaya sebagai batu loncatan ke status negara maju. Hal ini telah diperjelaskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006 - 2010). Pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan oleh kerajaan dalam menjayakan misi negara ini. Antara usaha kerajaan melibatkan pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) itu sendiri, yang mana meletakkan usaha Membangunkan Modal Insan sebagai teras kedua selepas Membina Negara Bangsa.
Sistem pendidikan di Malaysia haruslah dijadikan sandaran utama ke arah menghasilkan modal insan yang gemilang yang mana mampu memandu hala tuju negara ke arah Wawasn 2020, sebagaimana yang disasarkan oleh kerajaan. Tumpuan juga turut diberi dalam aspek pembangunan modal insan yang mana ia merupakan usaha berterusan yang mampu mencorak ke arah kegemilangan negara. Dengan modal insan yang baik dan berkualiti ia mampu mencapai matlamat RMK-9.
Kejayaan masa hadapan bergantung kepada mutu modal insan yang dimiliki, bukan sahaja dari segi intelek tetapi juga keperibadian. Sejajar dengan teras ini, Kerajaan akan melaksanakan usaha penambahbaikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh, dari peringkat prasekolah hinggalah ke peringkat tinggi dan vokasional. Persekitaran yang menggalakkan akan diwujudkan untuk menjana lebih banyak usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D). Pada masa yang sama, penekanan akan diberi kepada usaha memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Hasrat kita, bermula dari sistem prasekolah hingga ke pengajian tinggi, biarlah serba molek dan serba teratur. Barulah sistem sekolah kebangsaan yang kita ingin perkasakan, hinggalah ke menara gading, dapat menuju arus kejernihan membina modal insan. Modal insan gemilang yang ingin kita lahirkan pula wajar mengamalkan pendidikan sepanjang hayat, menguasai lebih daripada satu bahasa dan berbudaya ilmu yang tinggi. Nampaknya kini, dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan, kekuatan sesebuah negara semakin bergantung kepada keupayaan penduduknya untuk menjana dana intelektual. Jika dahulu sebelum merdeka, cukup dengan pendidikan kelas dewasa untuk membasmi buta huruf. Selepas daripada itu, tahap kelulusan rata-ratanya meningkat kepada ijazah pertama. Namun kini, untuk lebih berjaya dan kompetitif, menuntut pula kepada tahap kelulusan yang lebih tinggi daripada ijazah sarjana muda.
Kita hendaklah melangkah lebih jauh ke peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran, dalam usaha membudayakan tradisi penyelidikan di bidang sains dan teknologi. Ini merangkumi pelbagai bidang seperti penemuan baru, hasil kreativiti penciptaan serta penambahbaikan proses pembuatan dan pengurusan. Oleh itu, hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membangunkan modal insan dengan ciri individu dan masyarakat Malaysia yang maju, memastikan akses, ekuiti dan kualiti yang menjadi tunjang agenda pendidikan dapat diteruskan, merintis dan menerajui perubahan demi melonjakkan sistem dan institusi pendidikan ke tahap dunia pada 2020.
Maka, Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menggariskan enam teras dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang bersifat holistik yang perlu diperjuangkan semua lapisan warga pendidik. Enam teras itu adalah membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasa sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion perguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.
Sejajar dengan itu, beberapa strategi khusus dirancang melalui PIPP untuk mencapai matlamat ini. Antaranya ialah menyediakan lebih banyak pilihan pendidikan kepada ibu bapa dan pelajar. Hal ini boleh dicapai dengan cara meneruskan kewujudan pelbagai jenis sekolah, aliran mata pelajaran dan pengkhususan. Selain itu, meneruskan pendaftaran Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Negeri di seluruh negara. Aliran MPV di sekolah-sekolah juga perlu diperluas dan dimantapkan lagi. KPM juga perlu meningkatkan peruntukan perbelanjaan pengurusan kepada Sekalah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan.
Strategi lain ialah meningkatkan keupayaan dan minat pelajar agar dapat mendorong mereka berusaha menguasai ilmu dan kemahiran berlandaskan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif melalui Program Pembestarian Sekolah. Maka, penyediaan infrastruktur dan perkakasan mencukupi perlu dilakukan. Pihak KPM juga berperanan dalam mengkaji pelaksanaan KBSR dan KBSM supaya lebih menekankan kemahiran berfikir aras tinggi. Secara tidak langsung, hal ini dapat memupuk budaya cintakan ilmu pengetahuan. Transformasi ini perlu difokuskan kepada pengemaskinian kurikulum melalui memperluas pelaksanaan j-QAF, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ke dalam Tahap 1 di sekolah rendah dan peringkat sekolah menengah.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Selain itu, pelajar dilengkapi dengan kemahiran khasnya ICT dan berketrampilan melalui pemantapan Program Amalan Kebersihan Sekolah dan kerja amal serta menganjur ceramah, seminar, kem motivasi dan bengkel bertema pembangunan insan untuk memupuk pelajar mengamalkan budaya kerja berpasukan dan pembinaan sahsiah murni. Dalam pada itu, selain daripada asas-asas teori dan praktikal, setiap program perlu mengandungi komponen-komponen tertentu yang berfungsi memupuk nilai-nilai murni, membina kemahiran serta memperkasa keyakinan diri agar pelajar dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat dan alam kerjaya masa kini. Komponen-komponen yang saya maksudkan termasuklah kemahiran berkomunikasi dan penggunaan teknologi maklumat, keusahawanan, pemikiran kreatif dan kritis, asas-asas pengurusan dan sebagainya.
Seterusnya, perhatian khusus perlu diberi melalui pemantapan proses kokurikulum dan sukan. Contohnya menggalakkan penglibatan daripada semua pelajar. Guru pelatih juga diberikan pendedahan awal dalam sukan, kokurikulum dan kejurulatihan. Maka, infrastruktur dan kemudahan prasarana yang lebih baik diperlukan bagi memastikan strategi ini dapat dijayakan. Transformasi perlu dilakukan untuk memantapkan sistem, kualiti pengukuran dan penilaian secara holistik supaya suasana persekolahan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Fokus perlu diberkan dalam usaha memperkukuh disiplin pelajar melalui kempen seperti Kempen Anti Buli, Kempen Anti Ponteng, Kempen Pencegah Salah Laku dan Program Keselamatan Jalan Raya. Selain itu, peraturan disiplin baru boleh digubal dalam membendung gejala tidak sihat ini. Maka, penglibatan daripada ibu bapa dan Jawatankuasa Bertindak amatlah diharapkan selain mempellbagaikan saluran aduan disiplin secara terus dan serta merta.
Strategi terakhir ialah memperkukuhkan kerjasama antara KPM dengan pelbagai agensi untuk menjalankan pelbagai aktiviti pembangunan modal insan. Selain itu, semua pihak juga didedahkan secara telus mengenai projek-projek serta program-program pembangunan pendidikan yang akan dilaksanakan oleh KPM. Malah, KPM turut menggalakkan penglibatan pihak-pihak berkepentingan dalam setiap program yang ingin dilaksanakan, bukan sekadar untuk mendapatkan pandangan, tetapi untuk memberikan peluang kepada mereka untuk turut serta dan terlibat secara aktif bagi menjayakan wawasan pendidikan yang telah dibentangkan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Strategi khusus ini adalah berlandaskan Matlamat dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di samping memeprkembangkan lagi potensi pelajar secara keseluruhan, usaha adalah ditumpukan untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan mempunyai modal yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran kepada agama, bangsa, masyarakat dan negara. Ringkas kata, di bawah konteks pembangunan negara, konsep modal insan gemilang ini dapat dirumuskan sebagai tenaga rakyat yang berpengetahuan dan berkemahiran, yang progresif, bermoral dan beretika tinggi, yang berfikir secara kritis dan kreatif, yang cekap mengurus maklumat komunikasi dan teknologi, yang mampu bersaing di pasaran kerja global, serta yang berusaha mengamal pembelajaran sepanjang hayat. Pembangunan modal insan gemilang melalui sistem pendidikan di Malaysia adalah usaha ke arah pencapaian peningkatan tahap produktiviti dan daya saing, sebagaimana yang ditegaskan dalam Matlamat Wawasan 2020.
Dasar pendidikan yang terancang dapat membentuk insan yang sempurna dan seimbang. Ibaratnya, jika laut yang luas itu pasaran kerja yang serba mencabar, sementara sistem persekolahan pula umpama mata air yang jernih di hulu sungai, maka eloklah perjalanan air dalam sungai berliku itu jernih hingga ke muara. Semoga negara kita akan lebih kaya dengan modal insan yang mampu merealisasikan hasrat dan cita-cita negara agar terus cemerlang, gemilang dan terbilang di mata dunia.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Setakat ini dahulu pidato saya pada pagi ini. Semoga apa yang saya perkatakan tadi dapat diberikan perhatian dan tindakan yang sewajarnya. Sebelum saya mengundur diri, pohon ampun dan maaf andai tersilap bicara, tersalah kata dan keterlanjuran budi bicara.
Sekian, terima kasih.
Tuesday, August 11, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 nulih:
Post a Comment