Saturday, July 11, 2009

antara lelaki n perempuan

LELAKI PEMIMPIN WANITA

"

Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin kaum wanita". Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepimpinan adalah diterajui oleh kaum lelaki; manakala kaum perempuan adalah golongan yang dipimpin. Inilah fitrah atau sunnatullah yang berkuatkuasa dalam kehidupan manusia di dunia ini sepanjang zaman. Dalam ayat lain pula Allah berfirman, bermaksud "Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka." Perintah ini ditujukan kepada kaum lelaki yang menjadi ketua sesebuah keluarga.

Pengaruh barat yang menular ke negara Islam berjaya menyerapkan ideologi persamaan hak wanita-lelaki dan akhirnya diterima umum. Akibatnya konsep kepemimpinan lelaki terhakis. Kaum wanita yang dahulunya berperanan mentadbir anak-anak dan rumahtangga si-suami kini sudah mengabaikan tanggungjawab. Anak-anak sebaliknya dipelihara oleh orang gaji.

Apabila ramai wanita sudah memandang tanggungjawab di rumah sebagai kolot dan tidak ekonomikal, maka institusi keluarga akan tercemar dan terjejas. Anak-anak kehilangan kasih-sayang ibu. Ibu hanya sempat melihat anak waktu petang atau malam. Ketika itu badannya sudah keletihan dan tidak berdaya untuk mengasuh anak lagi. Anak-anak membesar tanpa menerima kasih-sayang ibu. Apabila ibu tidak menyayangi anak, semasa dewasanya nanti, sudah tentu anak tidak akan mengasihi ibunya. Jadilah mereka anak yang kasar dari segi tutur-kata dan tingkahlaku.

Walaupun kesilapan ini seolah-olah berpunca daripada wanita tetapi sebenarnya adalah berpunca daripada lelaki yang tidak berjaya mentarbiah wanita yang diamanahkan kepadanya.

Kegagalan mentarbiah anak dan isteri menyebabkan ramai anak-anak gadis keluar beramai-ramai memburu kerja di mana-mana saja. Kilang-kilang perindustrian yang menawarkan insentif dan gaji lumayan menjadi alternatif utama berbanding profesion perguruan dan perkeranian. Bahkan ramai juga wanita yang menjadi doktor, jurutera, polis, askar dan sebagainya. Kuantiti wanita yang ramai bekerja menyebabkan berlakunya satu kekosongan yang ketara di dalam institusi keluarga. Keadaan ini digawatkan lagi dengan sikap pelajar lelaki yang tidak secemerlang pelajar perempuan. Kecemerlangan pelajar perempuan di dalam peperiksaan awam berbanding pelajar lelaki menjadi satu faktor ramainya wanita melibatkan diri di dalam pasaran tenaga kerja.

Penglibatan wanita yang ramai di dalam sektor pekerjaan menyebabkan berlakunya pengangguran di kalangan kaum lelaki. Mereka akhirnya terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Wanita bekerja terutama yang berpendapatan tinggi bertambah ramai yang hidup membujang. Pemuda yang menganggur sukar mencari wang untuk berkahwin. Akhirnya berlakulah pelbagai gejala keruntuhan akhlak di kalangan muda-mudi.

Walaupun banyak faktor dikaitkan dengan gejala keruntuhan akhlak yang berlaku sekarang, namun faktor yang jelas ialah kurang berkesannya peranan yang dimainkan oleh kaum lelaki sebagai ketua yang memimpin ahli-ahli keluarganya. Sebagai penutup sayugianya kita kembali kepada dasar Islam untuk mengembalikan martabat lelaki sebagai ketua yang diamanahkan untuk memimpin ahli-ahli keluarga dan kaum wanita amnya. Wallahualam.

KELEBIHAN LELAKI PADA AKALNYA

Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk berpasang-pasang; lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, begitulah seterusnya.Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Satu contoh dalam kejadian manusia, Allah jadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal, manakala lelaki 9/10 akal dan 1/10 malu.

Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan 2 wanita dengan 1 lelaki; contohnya dalam hal penyaksian.Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kocar-kacir.

Begitulah kebijaksanaan Allah untuk menjaga keharmonian alam. Namun apa dah jadi pada masa ini. Wanita sudah tidak ada perasaan malu lagi; bebas bergaul tanpa batas, bebas keluar hingga larut malam. Manakala lelaki pula sudah tidak menggunakan akal lagi malah merosakkannya pula. Fikirkanlah kesan buruk yang akan menimpa masyarakat jika fitrah kejadian ini sudah diabaikan.

Wanita yang sepatutnya malu dah tiada malu lagi; lelaki yang sepatutnya berakal dah hilangkan akal mereka. Perempuan dengan gejala dedah; lelaki dengan gejala dadah.

Kata orang tua-tua - pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara kini sudah hampir berkubur. Apa tindakan kita sekarang?


0 nulih:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com